Wednesday, November 4, 2009

ARSENAL WASPADA ANCAMAN ALKMAR

ARSENAL enggan dibuai mimpi indah ekoran aksi cemerlang dalam Liga Inggeris ditambah dengan kedudukan skuad itu berada pada kelompok tiga teratas persada liga menjelang pertemuan dengan AZ ALKMAR dalam perlawanan Liga Juara-Juara Kumpulan H pagi nanti.

Skuad bimbingan Arsene Wenger perlu memberi fokus sepenuhnya dalam pertemuan kali ini  tanpa mengambil kira prestasi pihak lawan yang agak kurang menyerlah dan kini berada pada kedudukan tangga ketujuh dalam Liga Belanda itu. Pemain-pemain Arsenal perlu menanam  satu matlamat untuk mencipta kemenangan sekali gus mengesahkan tempat mara ke peringkat  kalah-mati.

Namun buat Wenger, kemenangan keatas skuad bimbingan Ronald Koeman itu bukan suatu  yang boleh dianggap suatu tugas mudah kerana pasukan pelawat itu juga memiliki barisan pemain yang berkualiti kini turut mengintai peluang dengan memberi tumpuan sepenuhnya terhadap perlawanan untuk mara keperingkat seterusnya.


Begitupun, secara pengiraan mata sekiranya kemenangan mampu diraih oleh Arsenal  ianya belum pasti menjamin kedudukan The Gunners ditangga teratas kumpulan itu. Hanya kemenangan dalam perlawanan berikutnya barulah pasukan itu boleh dianggap sah menjuarai kumpulan bagi menepati  sasaran sebenar yang ingin dicapai oleh Wenger.

Dalam pada itu berita kecederaan yang menimpa bek kiri Arsenal, Gael Clichy baru-baru ini sedikit pun tidak menjejaskan persiapan dan membimbangkan Wenger kerana pemain yang tidak asing lagi  buat penyokong Arsenal, yang merupakan pemain Bawah 21 tahun England,  Kieran Gibbs sudah bersedia untuk mengalas tugas bagi mengisi kekosongan akibat ketiadaan Clichy itu untuk selama dua bulan.

Selain dari Clichy seorang lagi  penyerang Nicklas Bendtner juga terpaksa berehat sekurang-kurangnya empat bulan akibat kecederaan paha yang dialami pemain itu. Namun ketiadaannya tidak menjejaskan tumpuan Wenger kerana Samir Nasri dan Tomas Rosicky sudah pulih dan mampu diturunkan dalam perlawanan itu pagi nanti.  





No comments: