Wednesday, September 30, 2009

PERCATURAN ARSENE WENGER MENJADI







ARSENAL meneruskan kemaraan dalam kempen Liga Juara-Juara musim ini dengan bergaya apabila membenam Olimpiakos dari Greece 2-0 dalam perlawanan Kumpulan H di Stadium Emirates, pagi tadi.

Dua gol pada lewat babak kedua, hasil jaringan Robin Van Persie (min ke-76) dan Andre Arshavin (min ke-86) membolehkan Arsenal mengutip tiga mata penuh untuk mengekalkan rekod kemenangan dalam dua perlawanan.

Skuad bimbingan Arsene Wenger kini menduduki tangga teratas dalam Kumpulan H dengan memungut enam mata namun mereka dipaksa kerja keras oleh benteng pertahanan lawan dan kecermerlangan aksi ketua pasukan Antonis Nikopolidis selaku benteng terakhir sehingga minit ke-76, barulah mereka berjaya memecah kebuntuan.

Penjaga gol itu yang merupakan antara tonggak penting menjulang Greece muncul juara Piala Eropah 2002 menjadi duri dalam daging buat pasukan tuan rumah kerap menggagalkan setiap percubaan barisan penyerang Arsenal yang diketuai oleh Robin Van Persie.

Olympiakos merupakan Juara Liga utama Greece itu yang dipimpin oleh pengurus baru, bekas bintang Brazil, Zico hampir mencatat sejarah menjadi kelab pertama negara itu berjaya membawa pulang mata apabila berkunjung menentang kelab dalam Liga Inggeris tidak menjadi kenyataan apabila hanya sekadar mampu bertahan ketika baki perlawanan tinggal 14 minit.

Percaturan pengendali dari Perancis itu memasukkan penyerang kontroversi Eduardo Da Silva dari Croatia menggantikan Tomas Rosicky pada minit ke-70 membuka laluan buat The Gunners untuk memperolehi gol pendahuluan.


Eduardo yang bijak mencari ruang berjaya meloloskan diri disebelah kiri dan menyilangkan bola buat Robin Van Persie, pantas meluru untuk menampan bola kedalam gawang menewaskan Nikopolidis. Andre Arshavin melengkapkan malam gemilang Arsenal dengan menjaringkan gol menarik secara `back-heel' yang samasekali mengelirukan penjaga gol lawan empat minit sebelum tamat.

Barisan pemain Arsenal: Vito Mannone, Eboue, Gallas, Vermaelen, Clichy, Fabregas, Song, Abou Diaby (Vela), Rosicky (Eduardo), Van Persie (Ramsey), Arshavin

Monday, September 28, 2009

ARSENAL CATAT KEMENANGAN BERHARGA - TAHNIAH VITO MANNONE







ARSENAL catat kemenangan keempat dari enam perlawanan hasil jaringan tunggal penyerang Robin Van Persie (min 52) ke atas Fulham di Craven Cottage pada separuh masa kedua sekaligus membuktikan barisan muda The Gunners sudah melupakan episod pahit ekoran dari dua kekalahan berturut-turut dua minggu lalu.

Kemenangan itu menyaksikan Arsenal naik menduduki tangga kelima dibelakang Totenham Hotspurs dengan 12 mata hasil dari empat kemenangan dengan baki kurang satu perlawanan berbanding dengan empat pasukan teratas yang telah bermain enam perlawanan.


Dan pasti perlawanan kali ini cukup bermakna buat penjaga gol ketiga Arsenal, Vito Mannone yang mengambil alih tugas penjaga gol utama, Manuel Alumnia bermain dengan begitu cemerlang menyelamatkan sekurang-kurangnya lima percubaan yang hampir pasti gol kemas mengawal gawang gol dibolosi.

Sekurang-kurangnya penjaga gol muda yang berasal dari Itali itu kini dilihat hampir pasti merampas jersi nombor satu dengan aksi hebat dan wajar perlawanan menentang Fulham menjadi miliknya dan tidak ragu-ragu dinobatkan sebagai `man of the match'.


Pada perhatian saya persembahan yang ditonjolkan Mannone inilah yang sepatutnya ada pada setiap penjaga gol. Disebabkan kerana ketangkasan memastikan gawang gol tidak dibolosi, menyemarak dan menaikkan semangat rakan-rakan untuk berjuang dalam tempoh satu setengah jam perlawanan sekaligus menghampakan dan mengecewakan usaha pihak lawan.

Bukan menidakkan kehebatan Alumnia tetapi penjaga gol itu sering melepaskan gol mudah dan melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya dilakukan berbanding Mannone. Bagi saya, sekiranya Mannone terus diberi kepercayaan oleh Arsene Wenger dalam perlawanan berikutnya penjaga gol ini pasti mampu menjadi penjaga gol terbaik Arsenal setakat ini jika aksi seumpama ini terus dipamerkan. Tahniah buat Mannone dan tahniah buat Van Persie yang berjaya menamatkan kemarau jaringan dengan gol sulungnya musim ini.

Persembahan dan corak permainan kedua-dua pasukan amat menarik kerana kedua-duanya mengamalkan corak permainan menyerang dan terbuka itu berjaya menghiburkan dan memeriahkan  penyokong kedua-dua pasukan yang membanjiri stadium. Kedua-dua saling berbalas serangan dan kerap mencipta beberapa peluang keemasan untuk menghasikan gol.

Penyerang Arsenal, Andre Arshavin yang kembali selepas pulih dari kecederaan memperolehi peluang keemasan untuk meletakkan The Gunners dihadapan namun percubaannya pada saat akhir mengatasi palang gol ketika hanya berdepan dengan penjaga gol Fulham, Mark Schwazer pada separuh masa pertama.


Namun pada babak kedua, ketua pasukan Arsenal, Cesc Fabregas sekali lagi mempamerkan kehebatan bijak mencari Van Persie dengan satu hantaran kemas mengatasi pertahanan Fulham berjaya dikawal oleh penyerang Belanda dan melakukan rembatan leret kaki kanan terus kepenjuru kanan gawang gol mengatasi jangkauan Schwazer.

Pujian harus diberikan oleh anak-anak buah Ray Hodgson yang tidak mudah berputus-asa bermain dihadapan penyokong mereka sendiri tetapi beberapa percubaan oleh penyerang mereka seperti Bobby Zamora, Andy Johnson dan Clint Dempsey berjaya diselamatkan Vito Mannone.